Assalamualaikum...
REJAB bulan ketujuh dalam kalendar Islam muncul lagi. Rejab yang bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan kemurahan-Nya terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya selain ia adalah bulan yang sangat mulia. Pada bulan itu mengandungi peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa daripada tangan tentera Salib dan ada berpendapat bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad. Tidak kurang juga ramai melihat Rejab sebagai satu bulan spiritual untuk mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Tarikan dan seruan yang ditiup ke dalam jiwa umat Islam terutama untuk melakukan ibadat dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang mengandungi fadhilat ibadat di dalam bulan itu. Justeru, Rejab sebagai bulan yang sangat mulia, sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan untuk menambah amalan. Banyak hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh sahabat mengenai kelebihan Rejab.
Amalan terbaik di dalam Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah mengenai kelebihan berpuasa pada Rejab adalah seperti berikut:
- Puasa satu hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi (Firdaus).
- Puasa dua hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipat gandakan pahalanya.
- Puasa tiga hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.
- Puasa empat hari - diselamatkan daripada seksaan akhirat kelak serta fitnah Dajal.
- Puasa lima hari - aman dari azab kubur.
- Puasa enam hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
- Puasa tujuh hari - Allah mengunci tujuh pintu neraka jahanam baginya.
- Puasa lapan hari - Allah membuka lapan pintu syurga baginya.
- Puasa sembilan hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru "Laailahaillallah" dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
- Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.
- Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
- Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
- Puasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan.
- Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
- Puasa 16 hari - Dapat melihat wajah Allah dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
- Puasa 19 hari - Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam.
- Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya lalu dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.
- Sesiapa berpuasa tiga hari dalam bulan ini dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.
- Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.
- Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab dengan airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin daripada salji.
- Setiap umat Islam berpuasa pada Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, seribu kali lebih cantik daripada matahari.
- Sedekah pada Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap helai bulu roma seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka.
- Orang yang lemah daripada berpuasa pada Rejab hendaklah bersedekah tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan